BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 1, 2011

Usaha-usaha untuk merapatkan hubungan kekeluargaan


Sudah menjadi fitrah manusia sejak azali lagi untuk mendirikan sebuah keluarga yang bahagia. Keluarga boleh didefinisikan sebagai sebuah organisasi atau institusi yang terdiri daripada sepasang suami isteri yang telah dinikahkan dengan ikatan perkahwinan yang sah mengikut syarak dan unit-unit yang lain yang mempunyai pertalian darah dengan mereka seperti anak-anak mereka, cucu-cucu serta ibu bapa mereka. Tidak ketinggalan juga saudara jauh seperti sepupu mereka turut boleh didefinisikan sebagai ahli keluarga. Tujuan berkeluarga boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari segi agama, sosial serta Negara. Tujuan berkeluarga  dari segi agama ialah untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah maksiat manakala dari segi sosial pula ialah melahirkan lebih ramai lagi generasi yang berintelektual, dan dari segi Negara pula ialah dapat melahirkan generasi yang dapat memakmurkan tanah air yang tercinta ini. Setiap ibu bapa mahupun anak-anak mesti mahukan keluarga mereka sentiasa hidup dalam keadaan bahagia. Keluarga yang bahagia ialah sebuah keluarga yang hidup dalam keadaan yang harmoni, saling mengambil berat antara satu sama lain, sentiasa banyak meluangkan masa bersama ahli keluarganya serta mempunyai ikatan silaturahim yang erat antara satu sama lain. Persoalannya sekarang bagaimanakah kita hendak mewujudkan  sebuah institusi keluarga yang bahagia dan siapakah yang patut menggalas amanah ini? Marilah sama-sama kita bincangkan persoalan ini agar kita mendapat keterangan yang lebih jelas mengenainya serta dapat mempraktikkannya di dalam keluarga kita insyaallah.
Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kita tidak memotongnya maka dia akan memotong kita. Kata hukama’ diatas menggambarkan bahawa pengurusan masa yang bijak harus dilakukan agar kita tidak dianggap bagai enau dalam belukar. Hal ini juga ada ditegaskan dalam firman Allah dalam Surah Al-Asr mafhumnya “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan menetapkan kesabaran”. Di dalam surah ini Allah telah bersumpah kepada masa bahawa semua manusia yang hidup di atas muka bumi yang fana’ ini berada dalam kerugian kecuali orang-oramg yang berpegang teguh kepada “Amar Makruf Nahi Mungkar”. Oleh yang demikian, kita hendaklah mengisi waktu senggang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermaslahat. Hal ini kerana kita tidak tahu sama ada waktu lapang yang kita ada sekarang ini mungkin tidak akan datang lagi kepada kita. Oleh itu, untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, ibu bapa haruslah memperuntukkan walaupun minoriti daripada masanya dengan meluangkan masa bersama-sama anak-anak mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermaslahat. Hal ini kerana mengikut kajian pakar psikologi, bagi anak-anak, kuantiti masa yang ada tidak penting baginya, tetapi apa yang penting ialah kualiti masa yang digunakan bersama-sama orang yang paling mereka sayang. Hal ini kerana pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin cekik darah. Tambahan lagi, statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan salah satu perkara yang amat menyedihkan kerana mengikut kajian pakar psikologi pada peringkat ini anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Tuntasnya, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan sekelumit masanya dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama-sama dengan anak-anak mereka.
Anak umpama kain putih, ibu bapalah yang akan mencoraknya. Pepatah diatah jelas menggambarkan bahawa ibu bapalah yang akan mencorak keperibadian anak mereka. Ibu bapa seharusnya memberikan anak mereka pendidikan yang sempurna dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Pendidikan yang sempurna ialah pendidikan yang harus diterapkan kepada anak-anak mereka yang merangkumi segenap aspek penting iaitu aspek duniawi dan aspek ukhrawi. Hal ini kerana pendidikan duniawi dapat mengajarkan anak-anak kita akan kepentingan ilmu untuk mengharungi arus kemodenan yang kian mencabar dari tahun ke tahun. Pendidikan ukhrawi pula dapat mendidik anak-anak mereka agar dapat membezakan antara perkara hak dan yang batil.. Bukan itu sahaja malah dengan didikan ini juga anak-anak akan mula mendengar dan mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya serta dapat menghormati ibu bapa, dan kaum keluarganya yang lain. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan anak-anak yang bertanggungjawab serta dapat membantu memikul tugas ibu bapa dalam usaha membangunkan keluarga yang ceria dengan efektif. Di samping itu, golongan yang berpendidikan agama ini juga mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama ahli keluarganya yang lain. Bukan itu sahaja, malah dengan kesabaran yang kental dek iman yang tebal juga mampu mengelakkan hubungan kekeluargaan daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing mestilah dijadikan amalan dalam kehidupan berkeluarga. Begitu juga dengan madah melayu hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah juga seharusnya menjadi azimat sebagai kunci kebahagiaan sejati. Secara sterotaipnya, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dibentuk.
Nabi Muhammad ada bersabda bahawa doa merupakan senjata orang-orang mukmin. Hal berdoa ini juga banyak dijelaskan dalam Al-Quran, salah satu daripadanya ialah dalam Surah Al-Mukminun ayat 60 mafhumnya “ berdoalah kamu, nescaya Aku (Allah) akan perkenankannya”. Firman diatas menjelaskan bahawa Allah meletakkan satu perintah pada ayat “berdoalah” kerana Allah ingin menggalakkan hamba-hambanya berdoa kepada-Nya kerana kita akan memperolehi banyak hikmah daripadanya. Antara hikmahnya ialah, melindungi keluarga daripada anasir-anasir jahat seperti sihir dan santau yang dapat memporak-perandakan keluarga yang bahagia. Selain daripada itu Allah juga menyuruh hamba-hamba-Nya supaya selalu bergantung hanya kepada-Nya sahaja. Lihatlah bertapa hebatnya darjat sebuah doa di sisi Allah dan Rasul-Nya. Untuk memperolehi doa yang mustajab, seseorang itu haruslah berwudhuk dan menghadap kiblat ketika berdoa kerana amalan ini merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah. Tidak salah jika kita tiada wudhuk cuma kita akan berasa berbeza jika kita berdoa tanpa wudhuk kerana hati kita mudah dihasut dengan bisikan-bisikan syaitan. Jika kita masih lagi tertanya-tanya apakah doa yang paling sesuai untuk menambahkan kebahagiaan di dalam keluarga kita? Kita pun mulalah mencari-cari doanya tetapi apa yang kita jumpa kebanyakkannya doa dalam Bahasa Arab, tetapi kita tidak tahu atau memahami bahasa itu. Jangan risau dan jangan meletakkan diri kita di dalam dilema disebabkan perkara-perkara tersebut. Doa yang paling mujarab ialah apabila kita berdoa kepada Ilahi dan berdoa dengan sepenuh hati dan  penuh syahdu serta kita memahami apa yang kita pinta daripada-Nya. Tidak salah jika kita hendak berdoa dalam bahasa selain daripada bahasa syurga kerana Allah Maha Memahami. Oleh itu tiada alasan lagi bagi kita untuk tidak  mendoakan mereka. Natijahnya, kita haruslah selalu berdoa agar ikatan tali persaudaraan antara ahli keluarga tidak akan renggang dan kekal sehingga ke anak cucu.

Konklusinya, dalam usaha membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa haruslah memainkan peranan perdananya untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka. Ibu bapa sekarang ini haruslah bersikap terbuka dan berfikiran rasional dalam usaha mendidik anak-anak mereka.  Sebagai contoh, ibu bapa boleh jadikan diri mereka sebagai rakan kepada anak-anak mereka kerana kanak-kanak zaman sekarang mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka. Jadi tidak salah jika ibu bapa kini haruslah memainkan pelbagai watak agar anak-anak kita berasa selesa dan kagum apabila mereka bersama kita. Jadilah “Role Model” yang berwibawa kepada mereka yang bergelar generasi muda itu. Oleh itu didiklah anak kita mengikut peredaran zaman. Janganlah menjadi seperti ketam mengajar anak-anaknya berjalan lurus dan ikutlah arus kepimpinan kita sendiri, kepimpinan yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah serta selalu mengikuti perkembangan perengai anak-anak mereka, bukan itu sahaja malah, kita sebagai ibu bapa haruslah menyediakan pelbagai tektik yang hebat dan efektif sebagai persedian awal untuk menharungi pelbagai kemungkinan di masa hadapan. Hal ini kerana setiap generasi mempunyai keunikan dalam usaha mendidik mereka. Rumusnya, ingatlah bahawa anak-anak merupakan tulang belakang dalam membentuk keluarga bahagia. Benarlah ungkapan Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Nah sudah terang lagi bersuluh bertapa pentingnya slogan maju keluarga, majulah masyarakat kerana pincang keluarga, musnahlah masyarakat
dikarang  oleh mohd faiz

0 comments: