BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, January 24, 2012

Do'a Wahdah


لا إله إلاّ الله

إلهاً واحداً و نحن له مسلمون

لا إله إلاّ الله
و لا نعبد إلاّ إيّاه
مخلصين له الدين
و لو كره المشركون


لا إله إلاّ الله
ربّنا و ربّ آبائنا الأوّلين

لا إله إلاّ الله
وحده وحده وحده
أنجز وعده
ونصر عبده
وأعزّ جنده
وهزم الأحزاب وحده

فله المُلكُ و لهُ الحمد
يحيي و يميت
و يميت و يحيي
و هو حيٌّ لا يموت

بيده الخير
و هو على كلّ شيءٍ قدير

الله أكـــبر





Tiada Tuhan yang disembah selain ALlah
Tuhan yang Maha Esa
dan kami berserah kepadaNya
Tiada Tuhan yang disembah selainNya
kami tidak menyerah selain kepadaNya
kami mengikhlaskan tunduk kepada Nya
walaupun dibenci oleh org musyrik
Tiada Tuhan selain Allah
Tuhan kami dan Tuhan nenek moyang kami
yang terdahulu

Tiada Tuhan yang disembah selain Allah
Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa
Dia telah menunaikan janjiNya
Dia telah memenangkan hambaNya
Dia telah memuliakan tenteraNya
dan Dia telah mengalahkan musuhNya berseorangan

Bagi ALlah segala kerajaan,bagi segala pujian
Dia yang menghidupkan dan mematikan
Dia yang mematikan dan menghidupkan
sedangkan Dia Maha Hidup dan tidak mati
Dalam segala kekuasaan dan kebajikan
dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu
Allah Maha Besar

Friday, August 26, 2011

KEBAIKAN PROGRAM REALITI



Sejak belakangan ini dunia hiburan dari hari ke hari semakin popular di kalangan remaja. Program realiti  hiburan merupakan salah satu bentuk hiburan yang tidak pernah lekang daripada menghiasai bibir-bibir remaja kini. Program realiti hiburan ialah sebuah rancangan realiti yang memaparkan bakat-bakat baru yang telah lama terpendam di dalam jiwa remaja zaman ini. Antara contoh program realiti  hiburan yang acap kali menjadi topik utama perbualan remaja kini ialah rancantan Imam Muda  iaitu sebuah  program yang mencari imam atau pemimpin yang bijak berhujah dalam isu-isu agama untuk dijadikan “Role Model” kepada remaja-remaja kini, selain itu rancangan Akademi Fantasia iaitu sebuah rancangan yang mencari pemuda yang memiliki bakat menyanyi agar dapat mengetengahkan muzik-muzik tanah air di persada dunia, dan rancangan-rancangan yang lain. Antara faktor program realiti hiburan ini menjadi topik hangat dalam perbualan khalayak remaja adalah kerana program ini mempunyai cirri-ciri dan keunikannya yang tersendiri. Antara keunikannya ialah peserta-peserta akan diuji dengan pelbagai tugasan  yang semakin mencabar dari hari ke hari, mempunyai sistem undian yang memberi peluang kepada penonton untuk menilai dan memilih peserta yang terbaik serta pelbagai kejutan yang dibuat oleh pihak penganjur agar penonton tidak jemuh melihat aksi-aksi peserta dalam menyelesaikan tugasan mereka. Walaubagaimanapun, masih banyak lagi pihak terutamanya daripada kalangan orang dewasa ini menganggap bahawa program-program hiburan seperti ini banyak menyumbangkan kesan negatifnya daripada kesan positifnya. Sudah semestinya bukan senang untuk kita mengubah persepsi mereka tentang hal ini jika kita tidak menjelaskan antara kebaikan program-program seperti ini yang boleh diperolehi kepada mereka dengan baik dan efektif. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama membincangkan antara kebaikan program realiti hiburan ini agar masyarakat kita dapat melihat akan kepentingan program ini dalam menjana revolusi di dalam industri hiburan tanah air kita
Kalau tidak pecahkan ruyung mana dapat sagunya. Madah melayu ini juga amat sinonim sekali dengan kata hukama’ “man jadda wajada”  bermaksud sesiapa yang hendak maka dia akan mendapatkannya. Kedua-dua madah ini membawa gambaran yang sinonim sekali iaitu seseorang itu jika tidak berusaha untuk mendapatkan sesuatu benda itu masakan dapat hasilnya. Hal ini sama juga dengan situasi remaja sekarang ini bagai pahat dengan penukul, kena tegur dahulu baru hendak melakukan kerjanya. Contoh yang paling dekat untuk menerangkan situasi ini dengan lebih lanjut ialah kebanyakan remaja sekarang ini tidak akan menyelesaikan kerja sekolah mereka selagi mana guru-guru mereka tidak melakukan sesuatu terhadap pelajarnya itu. Begitu juga dengan bakat istimewa mereka yang sekarang ini masih tidur lena di dalam dirinya, hanya menunggu masanya yang sesuai sahaja untuk dikejutkan bakat itu. Jika bakat ini dapat dikejutkan, maka satu keajaiban- masa depan akan menjadi semakin cerah, dan mudah dikecapi akan dirasai oleh pelajar tersebut. Untuk mengejutkan atau menonjolkan bakat itu kerajaan telah melakukan pelbagai usaha seperti menyarankan industri hiburan di Negara kita supaya menganjurkan pelbagai program realiti hiburan yang berobjektifkan ingin menonjolkan bakat sebenar remaja di luar sana yang masih tercari-cari lagi hala tujuan yang harus mereka pilih. Oleh yang demikian salah satu kebaikan program realiti hiburan ini diwujudakan adalah dapat menolong remaja kini daripada tersalah memilih hala tuju mereka. Hal ini sekali gus dapat mengurangkan peratus masalah sosial dalam kalangan remaja. Jika hal ini berjaya dicapai, maka salah satu hasrat kerajaan iaitu “ Jenayah Sifar” dapat menampakkan hasilnya. Tuntasnya, jika anda hendak mendapatkan sesuatu benda itu hendaklah anda berusaha terlebih dahulu, bak kata pepatah “ yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”.
Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Khazanah kata ini menggambarkan bahawa jika kita ada semangat hendak mengejar cita-cita kita, pasti akan ada jalan atau cara untuk mencapainya. Contoh yang boleh diketengahkan untuk menjelaskan situasi ini dengan lebih terperinci lagi ialah jika seseorang itu sudah menanamkan impiannya itu di dalam hatinya dengan erat maka tidak kira walau apa jua sekalipun cabaran dan rintangan yang bakal dihadapinya pasti akan ada jalan keluarnya jika kita mempunyai keazaman yang tinggi dan untuh untuk mengaharunginya. Hal ini juga ada disebutkan dalam firman Allah mafhumnya “ Allah tidak akan mengubahkan nasib sesuatu kaum itu jika dia tidak berusaha mengubah nasib mereka”. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak akan menolong kita untuk berubah selagi kita tidak mempunyai niat untuk berubah. Sebagai contoh untuk menerangkan ayat ini dengan lebih lanjut lagi ialah walaupun kita menasihatkan pelajar yang nakal banyak mana sekalipun keputusannya masih lagi sama. Nasihat yang kita bagi tadi kepadanya bagai mencurah air ke atas  daun keladi, nasihat yang kita berikan tadi kepadanya akan menjadi sia-sia sahaja selagi mana dia tidak ada niat untuk membuat anjakan paradigma terhadap dirinya sendiri itu. Oleh yang demikian, salah satu faedah yang dapat kita semua perolehi jika program-program realiti ini dianjurkan adalah dapat mendidik anak-anak bangsa kita agar sentiasa berusaha mengejar cita-cita mereka dan jangan sekali-kali berputus asa jika kita masih tidak dapat melihat lagi hasilnya. Tanamkan dalam minda dengan kalam “Jika kau fikirkan boleh, kau boleh membuatnya dan jika kau fikirkan kekalahan, maka kau akan dapat kesengsaraannya.” Hal ini kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya cuma tinggal diri kita sahaja yang menentukannya sama ada masalah itu dapat diselesaikan ataupun tidak. Walaubagaimanapun, apa yang penting adalah usaha kita untuk mencari jalan yang sesuai untuk kita lalui agar dapat mencapai cita-cita kita itu. Konklusinya, janganlah kita cepat mengalah dalam usaha mengejar cita-cita kita. Ingatlah, cita-cita itu bukan sekadar cerita kosong di alam persekolahan yang menghiasi zaman kanak-kanak kita, tetapi cerita itu merupakan satu motivasi yang sering kita ucapkan kepada diri kita agar sentiasa berusaha dalam pelajaran demi mencapai kehidupan yang bahagia. Ingatlah remaja, kejar cita-cita dahulu, barukah kerja cinta.
Genggam bara api biar sampai jadi arang. Peribahasa ini menggambarkan seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan biarlah sampai membuahkan hasil apa yang dikerjakannya itu. Oleh yang demikian, salah satu maslahat menganjurkan program-program realiti ini ialah dapat mengajar anak-anak muda zaman sekarang ini agar melakuakan sesuatu itu biarlah bersungguh-sunggguh dan janganlah menyesal dikemudian harinya, bak kata pepatah Melayu, “sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Oleh yang demikian, jika kita sudah memiliki profesion yang kita minati, kita haruslah menjalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, jika kita sudah layak mengikuti sesebuah program realiti itu, kita haruslah menyahut segala cabaran dan menghadapi segala rintangan dengan berhemah serta bersiap sedia untuk menerima keputusannya dengan hati yang terbuka. Janganlah kita menganggap bahawa segala tugasan yang sukar itu diberi hanya sekadar hendak membuli kita, tetapi kita haruslah memandangnya dari sudut positif seperti pihak penganjur menyediakan tugasan sesukar itu kerana mereka tahu tugasan seperti inilah yang bakal peserta-peserta harungi malah mungkin lebih pahi lagit kelak. Hal ini kerana pihak penganjur telah terlebih makan garam daripada kita. Oleh itu, mahu atau tidak kita haruslah patuh dengan terma dan syarat yang mereka sediakan kerana kita yang memilih sendiri jalan yang kita hendak harungi ini, bak kata adat temenggung “berani buat berani tanggung”. Oleh itu setiap kali kita menerima tugasan, kita sebagai peserta yang mengikuti anjuran ini haruslah mendengar dan mentaati segala arahan yang akan mereka beri. Hal ini kerana mungkin apa yang pihak penganjur lakukan bertujuan untuk memberi nasihat atau motivasi yang akan dipegang oleh mereka yang memilih profesion ini dalam mengharungi cabaran yang begitu sengit dari hari ke hari. Secara sterotaipnya, semua remaja haruslah memilih profesion mereka berdasarkan bakat dan minatnya itu, jika anda berjiwa seni maka jadilah artis yang disegani dan disanjungi oleh khalayak ramai.
Konklusinya, semua masyarakat haruslah sedar bahawa program-program realiti hiburan ini bukan hanya sekadar dipertontonkan kepada khalayak ramai tanpa tunjuan yang munasabah. Hal ini kerana berdasarkan potongan hadis rasululullah “in nama a’malu binniat” bermaksud setiap perbuatan itu mesti mempunyai niat. Kita juga haruslah yakin bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan hanya semata-mata memberi peluang kepada rakyat agar dapat menikmati kehidupan yang lebih adil. Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan. Itulah slogan yang masih menjadi tunggak kerajaan dalam melaksanakan amanah mereka dalam membentuk bangsa yang lebih bertamadun. Walaubagaimanapun setiap perbuatan mesti ada batasannya. Begitu juga dengan dunia hiburan, setiap hiburan pasti ada batasannya. Hal ini ada diterangkan di dalam potongan hadis rasulullah mafhumnya “ orang yang soleh ialah orang yang mencari bekalan akhiratnya, orang yang membaiki taraf kehidupannya dan orang yang mencari hiburan yang tidak melalaikan”. Hadis tersebut jelas mengatakan bahawa Islam tidak melarang penganutnya mencari hiburan tetapi janganlah sampai melupakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Oleh yang demikian, kita janganlah menilai buku itu daripada kulitnya. Kita haruslah mengubah persepsi kita iaitu daripada pemikiran satu hala ke pelbagai hala. Janganlah kita asyik memikirkan kesan yang negatifnya sahaja sehinggakan menidakkan kesan yang positif. Oleh yang demikian, fikirlah dahulu sebelum bertindak, bak kata Ahmad Nabil bin Ahmad, raja lawak “lu fikirlah sendiri!”.
Dikarang oleh Mohd Faiz.

Thursday, August 18, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN MASALAH GEJALA SOSIAL



Dalam menyingkap tabir alaf baharu ini dan dalam proses mengharungi arus globalisasi yang bertolak pantas bagai ketil dibelut ekor, saban hari kita mesti dimomokkan dengan pelbagai berita tentang kes-kes jenayah yang semakin kritikal melanda di Negara kita ini. Antara kes jenayah perdana yang tidak pernah lekang menghiasi dada-dada akhbar ialah kes mencuri, merogol, ponteng sekolah, buli, vendalisme, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan banyak lagi. Lazimnya, kemelut ini sering dilakukan oleh generasi muda kita terutamanya mereka yang bergelar remaja. Senario ini seharusnya tidak boleh berlaku dalam Negara kita yang sedang membangun memacu ke arus kemodenan dan menghamparkan landasan keimanan ini. Persoalannya sekarang mengapakah masalah-masalah ini berlaku? Apakah punca-puncanya dan siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Persoalan ini sebenarnya telah lama bersarang dan menghantui di dalam kotak pemikiran kita cuma kita sahaja yang tidak mahu merungkaikannya kerana masing-masing dengan keegoannya itu iaitu pihak ini menyalahkan pihak itu dan sebaliknya. Permasalahan ini tidak akan selesai jika setiap pihak tidak bekerjasama dan  memainkan peranan mereka dengan bijak dan serius. Hal ini kerana mungkin dengan kemuafakatan antara satu pihak dan pihak yang lain akan membawa satu revolusi baru terhadap masalah sosial dalam Negara kita. Natijahnya marilah kita sama-sama membincangkan apakah peranan yang boleh kita utarakan bagi setiap pihak dan kita sama-sama menganalisa setiap tindakan yang diambil agar usaha itu dapat direalisasikan dengan efektif.
 Anak umpama kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakannya. Peribahasa diatas jelas menggambarkan bahawa ibu bapalah yang akan mencorakan keperibadian anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah memberikan anak mereka pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang sempurna ialah pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak mereka yang merangkumi segenap aspek iaitu duniawi dan ukhrawi. Pendidikan duniawi dapat mengajarkan anak-anak kita akan kepentingan ilmu dalam mengharungi arus kemodenan yang kian mencabar dari tahun ke tahun ini. Pendidikan ukhrawi pula dapat mendidik anak-anak mereka agar mentaati perintah Allah, Rasul-Nya, ibu bapa, saudara mereka serta alam sekitar. Bukan itu sahaja malah dengan didikan ini anak-anak akan dapat membezakan antara perkara hak dan yang batil. Hal ini kerana apabila kedua-dua pendidikan ini dapat diterapkan dan disemadikan dalam diri anak-anak mereka, maka keseimbangan rohani dan jasmani anak-anak mereka semakin kental dan mantap ibarat sebuah perisai yang ditempa daripada sumber galian yang berkualiti yang dapat mematahkan segala serangan pihak lawan di sekeliling mereka. Natijahnya, apabila anak-anak mereka berhijrah tidak kira walau di mana sekali pun mereka berada, mereka akan dapat menjaga diri mereka serta dapat menjauhkan diri daripada pelbagai gejala sosial. Oleh itu, ibu bapa haruslah meletakkan kepercayaan mereka kepada anak-anak mereka bahawa anak-anak mereka dapat menghindarkan dirinya daripada dinodai oleh dunia jenayah yang kian marabahaya ini!
Tak kenal maka tak cinta. Khazanah kata ini jelas menggambarkan bahawa jika kita tidak tahu atau kenal sesuatu itu maka kita tidak akan tertarik kepadanya, tetapi isu yang saya hendak utarakan yang sebenarnya adalah perkara yang sebaliknya. Halnya adalah jika kita tahu atau kenal bahawa sesuatu perkara itu dapat memudaratkan diri kita pada masa akan datang maka kita akan membencinya. Oleh yang demikian, peranan seterusnya yang boleh dimainkan oleh pihak kerajaan dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja adalah dengan mendedahkan kepada remaja-remaja kini akan keburukan pengambilan najis dadah ini dengan menganjurkan pelbagai ceramah dan kempen! Jika pihak kerajaan berjaya mempengaruhi pemikiran remaja-remaja zaman ini dengan memahamkan fakta-fakta mudah tentang implikasi yang akan diterima apabila terlibat dengan masalah sosial ini kepada mereka secara terperinci, jelas dan efektif nescaya sedikit sebanyak mereka akan mula menjauhi perkara tersebut. Walaupun sudah berjaya memahamkan mereka tentang hal ini, pihak kerajaan seharusnya tidak boleh berasa senang atau bergoyang kaki kerana usaha anda mungkin atau lebih tepat lagi mudah dikalahkan dan dipatahkan oleh pengaruh yang lebih besar lagi kelak! Oleh yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, pihak kerajaan haruslah menyediakan pelbagai langkah yang efektif dengan sentiasa menitik beratkan perkembangan tumbesaran remaja-remaja moden kita ini terutama waktu meraka berada dialam remaja yang penuh dengan cabaran yang tidak dapat diduga apakah bentuk cabaran yang bakal mereka tempuhi di pintu gerbang permulaan  alam remaja mereka itu.  Pada tahap ini pihak ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka juga seperti mengawasi pergaulan anak-anak mereka bersama-sama dengan rakan-rakan di sekeliling mereka. Bukan sahaja rakan-rakan mereka yang harus di pantau sepanjang masa malah dengan kaum kerabat yang terdekat seperti sepupu-sepupu mereka juga harus diawasi dengan cermat. Natijahnya, pihak kerajaan sebagai orang luar dan pihak ibu bapa sebagai orang paling hampir dengan anak-anak mereka haruslah bekerjasama dan berfikiran  kreatif, kritis, positif dan inovatif serta sanggup menerima sebarang kemungkinan dan menyelasaikannya secara sistematik dan proaktif.
Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Madah klasik ini menggambarkan bahawa perangai anak-anak mereka mesti seiras dengan perangai ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa yang seterusnya ialah menjadi “Role Model” kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa merupakan sahabat, penggalak, teman, pembimbing, pemudahcara dan tempat mereka mengadu akan masalah mereka kerana  ibu bapa merupakan orang yang paling hampir sekali di hati anak-anak mereka. Hal ini dapat  dibuktikan lagi dengan fakta menarik ini iaitu sejahat manapun anak mereka itu pasti jauh di dalam lubuk sanubari mereka, perasaan sayang akan ibu bapa mereka masih lagi terpahat dengan erat. Untuk mengukuhkan lagi keterangan di atas marilah kita bersama-sama mengimbas kembali tentang kisah “Anak Ku Sazali” iaitu sebuah filem melayu yang terkenal dan tidak asing lagi bagi kita dan filem ini juga pernah mengharumkan nama Negara kita di persada dunia. Dalam filem ini mengisahkan seorang anak yang bernama Sazali. Semasa dia menjadi orang dewasa, dia menjadi ketua perompak dan akhirnya menghancurkan hati ayahnya yang selama ini menjaga dia dengan penuh kasih sayang serta menaruh harapan agar anaknya menjadi orang yang berguna di masa hadapan, tetapi apabila organisasi dia telah di serbu oleh pihak polis dia dapat melarikan diri dan akhirnya dia pulang ke rumah meminta perlindungan dan memohon kemaafan daripada ayahnya. Pengajarannya, ibu bapa janganlah terlalu mengongkong atau memberi kebebasan kepada anak-anak mereka kerana tindakkan itu pasti berakhir dengan tragedi yang tidak diingini. Natijahnya, keterangan diatas sekali lagi jelas membuktikan bahawa peranan media massa dalam menyiarkan pelbagai saluran yang berinformasi sekali gus dapat membantu ibu bapa dalam memberi pengajaran kepada generasi muda Negara kita ini.
Nilai “Rumahku, Syurgaku” haruslah ditanam dan dipupuk dalam hati setiap anak-anak mereka. Hal ini supaya anak-anak mereka tidak menganggap rumah mereka sebagai sebuah penjara atas sebab pergerakkan mereka terbatas sekali gus tidak dapat melakukan aktiviti harian mereka dengan bebas. Ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka yang sering bersosial dan  meluangkan masa mereka di rumah bersama-sama ibu bapa, ibu bapa haruslah juga meluangkan masa mereka bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa juga haruslah tidak membawa masalah pekerjaan mereka di luar sana ke dalam rumah dan akhirnya membawa kepada peperangan mulut antara suami dan isteri. Jika hal ini berlaku tidak hairanlah akan menatijahkan anak-anak mereka  akan berasa tertekan di rumah kerana hal ini dapat memberi implikasi yang amat kritikal kepada  emosi anak-anak mereka sekali gus anak-anak mereka mulalah lari daripada rumah dan seterusnya mulalah mendekati dunia jenayah seperti mengambil dadah untuk dijadikan sebagai satu alat yang dapat melupakan masalah yang sedang bergelora didalam hati mereka. Bukan itu sahaja malah ibu bapa juga haruslah sedia menjadi pendengar dan penasihat dalam usaha  menyelami permasalahan yang telah lama bersarang di dalam hati mereka. Tambahan pula  ibu bapa haruslah mengadakan program untuk keluarga mereka seperti bergotong-royong, berkelah, bercuti ke tempat yang tenang dan indah agar dapat mengeratkan hubungan atau ikatan silaturahim antara satu sama lain. Intihanya, ibu bapa haruslah bijak merangka dan mengatur jadualnya untuk membahagikan antara waktu bekerja dan waktu bersama-sama anak-anak agar kepala anda tidak pening sekali gus tidak kekok meluangkan masa bersama-sama anak-anak mereka.
Konklusinya, setiap usaha yang kita lakukan haruslah dilaksanakan bersama-sama agar usaha yang dilakukan itu dapat direalisasikan dengan sempurna. Hal ini kerana setiap pihak mesti ada kekurangan dan kelemahan mereka yang tersendiri. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh menyumbangkan duit dan tenaga dalam melakukan pelbagai aktiviti  dalam memberi maklumat yang berkenaan masalah sosial, tetapi usaha ini belum tentu boleh member impak yang memberansangkan dalam diri remaja, jadi ibu bapalah yang akan memainkan peranannya disini agar anak-anak mereka dapat mempraktikkan apa yang dipelajarinya kerana ibu bapalah  orang yang paling hampir dalam hati remaja. Selain itu, corak kepimpinan ibu bapa haruslah bercorakkan kepimpinan yang adil dan saksama iaitu satu corak kepimpinan yang memimpin kearah ukhrawi dan duniawi yang berlandaskan Quran dan Sunnah kekasih kita. Di samping itu, ibu bapa juga haruslah mengambil nasihat daripada Umar Al-Khattab iaitu didiklah anak-anak kita mengikut peredaran zaman mereka. Jika nasihat ini dapat direalisasikan, maka lahirlah satu modal insan yang mempunyai kriteria-kriteri yang terpuji kelak. Tuntasnya, remaja yang unggul datangnya daripada keluarga yang berintegriti dan keluarga yang berintegriti datangnya daripada ibu bapa yang berkualiti iaitu ibu bapa yang bijak mengaturkan urusan keluarganya dengan baik dan berdedikasi. 
dikarang oleh mohd faiz

Thursday, June 2, 2011

JELASKAN PERANAN ANDA SEBAGAI ANAK UNTUK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA


Sedar atau tidak ibu bapa merupakan insan yang paling hampir dengan kita. Hampir seluruh masanya dihabiskan hanya memikirkan kebahagiaan anak-anak mereka. Mereka sanggup berlapar, berpenat lelah  semata-mata ingin membesarkan anak-anak mereka agar mereka terus hidup menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Tetapi apa yang sudah berlaku kepada kita sekarang  sewaktu mereka mencecah usia tua mereka dan mengharapkan kita untuk menjaga  mereka? Tentu kita berasa sedih dan kesian tetapi akan ada sedikit sebanyak jauh dalam lubuk sanubari kita akan merasakan satu beban untuk menjaga mereka lagi-lagi  jika mereka terlalu cerewit dan mungkin juga berasa geram, marah dan malas hendak melayani kerenah mereka. Untuk membuktikan lagi keterangan saya di atas, saya akan menceritakan secara ringkas kisah benar tentang Saidina Umar Al-Khattab R.A.H terserempak dengan salah satu rakyatnya. Satu hari semasa beliau meninjau keadaan rakyatnya, beliau ternampak seorang wanita di mana mukanya  terserlah kelihatan seribu satu kesedihan. Perempuan itu sedang menyuapkan makanan kepada seorang lelaki yang uzur. Beliau pergi mendekatinya dan menanyakan perempuan itu soalan ,“siapakah lelaki ini?” jawab perempuan itu “ ayah aku”. Beliau terus menyoal lagi “mengapakah kau kelihatan sedih? Adakah sebab lelaki ini sakit?” jawab perempuan itu “tidak, tetapi aku sedih sebab lelaki ini sewaktu mudanya menjaga aku agar aku terus hidup tetapi sekarang apabila waktu dia tua aku menjaganya tetapi dalam hati aku berasa satu beban yang berat kerana aku tidak larat lagi melayan kerenahnya dan melihat dia menderita”. Mendengar sahaja  jawapan daripada perempuan itu, hati beliau mula sebak disebabkan jawapannya itu memang benar. Walaubagaimanapun selagi kita digelar sebagai seorang anak, kita wajib menjaga kedua ibu bapa kita. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah dalam Surah Luqman ayat 14 mafhumnya “Dan kami (Allah) mewajibkan menusia berbuat baik terhadap ibu bapanya…. Natijahnya kita sebagai seorang anak haruslah membahagiakan ibu bapa kita sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka kerana mereka menjaga kita selama ini. Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama membincangkan peranan kita sebagai anak apakah cara-cara membahagiakan ibu bapa kita.
            Sudah menjadi fitrah bahawa manusia mempunyai perasaan. Perasaan ialah salah satu sifat yang diciptakan oleh Allah kepada manusia. Perasaan merupakan egen yang mencerminkan atau menggambarkan sesuatu situasi seseorang itu sama ada dalam keadaan marah, suka, kecewa, dan sebagainya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bagi kita jika melihat ibu bapa kita beremosi kepada kita di mana kadang-kadang mereka suka dan duka kerana tingkah laku kita. Hal ini kerana mereka juga  manusia yang diciptakan oleh Allah dan mereka juga dianugerahkan perasaan di dalam diri mereka. Oleh itu, kita sebagai anak haruslah membalas jasa ibu bapa kita dengan menghadiahkan mereka sebuah kebahagian, Perkara perdana yang harus dilakukan oleh kita ialah menjaga hati dan perasaan mereka. Persoalannnya sekarang bagaimana kita hendak menjaga perasaan mereka? Bagaimana pula kita hendak mengetahui isi hati mereka? Jawapannya ialah kita hendaklah cuba menyelami perasaan mereka dengan berlakon kita ini seolah-olah berada di tempat mereka, dan fikirkanlah apakah yang kita mahukan daripada anak kita? Sudah tentu jawapannya ialah ingin melihat anak kita menjadi seorang anak yang mentaati kedua ibu bapa mereka seperti menghormati mereka, menjaga hati mereka, menjaga maruah mereka, menunjukkan tingkah laku yang sopan di hadapan mereka dan lain-lain lagi. Salah satu amalan yang harus diikuti ialah dengan melaksanakan segala suruhan mereka selagi mana suruhan mereka tidak bercanggah daripada ajaran Islam. Rumusnya, kita hendaklah memenuhi segala arahan mereka jika mereka menyuruh kita membuat perkara-perkara yang baik tetapi jika mereka menyuruh kita membuat perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah, kita wajib mengingkari arahan tersebut kerana arahan itu akan membawa kita ke jalan yang sesat. Walaubagaimanapun Islam telah melarang seorang anak mengeluarkan kata-kata kesat serta meninggikan suara kepada ibu bapa sungguhpun apabila anak itu hendak menegur kesalahan ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, kita haruslah menegur mereka dengan cara yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah. Untuk mengukuhkan lagi keterangan diatas, marilah kita sama-sama renungkan kisah seorang sahabat Nabi kita iaitu Mus’ab dimana ibunya beragama kafir sedangkan dia telah memeluk Agama Islam. Dalam kisah ini ibunya mula merajuk dan menggertak anaknya supaya pulang kepada agama nenek moyangnya dahulu. Ibunya menggertak anaknya dimana dia akan mati kebuluran jika anaknya tidak mahu kembali ke ajaran sesat itu dan anaknya enggan lalu menerangkan sesuatu kepada ibunya dengan butir-butir kata yang penuh rasa hormat dan belas kasihan. Keterangan anak itu ialah “jika tuhan memberi kepada kamu seribu nyawa dan kamu cuba membunuh dirimu seribu kali juga, jawapan aku tetap sama aku akan tetap berpegang teguh dengan agama aku dan ibu dengan agama ibu”. Walaupun Islam meninggikan darjad kedua ibu bapa kita tetapi agama tidak boleh dipermainkan dan dipermudah-mudahkan. Oleh yang demikian, kita haruslah mendengar segala suruhan ibu bapa kita selagi mereka menyuruh kepada perkara yang makruf dan tegurlah mereka dengan baik jika mereka membuat kesilapan.
            Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kita tidak memotongnya maka dia akan memotong kita. Kata hukama’ diatas menggambarkan bahawa pengurusan masa yang bijak harus dilakukan agar kita tidak dianggap bagai enau dalam belukar. Oleh yang demikian, kita hendaklah mengisi waktu senggang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermaslahat. Hal ini kerana kita tidak tahu sama ada waktu lapang yang kita ada sekarang ini mungkin tidak akan datang lagi kepada kita. Oleh sebab itu, tidak rugilah jika kita menghabiskan sebahagian masa yang kita ada ini dengan menjenguk atau melawat keadaan ibu bapa kita. Mungkin amalan ini dipandang enteng oleh sesetengah pihak kerana mereka belum lagi  menyedari  bahawa amalan ini secara tidak langsung dapat memancarkan sedikit sinar kebahagian pada raut wajah orang tuanya itu. Selain daripada itu, amalan ini juga turut bertindak sebagai penawar kepada hati mereka yang selama ini menahan perasaan sunyi dan kerinduan mereka terhadap anak mereka. Hal ini kerana  hati manusia sering berubah-ubah dan mudah beremosi apabila umurnya semakin meningkat  Jadi tidak hairanlah jika mereka memeluk kita dengan erat bahkan mengalirkan air mata kegembiraannya apabila melihat wajah insan tersayang mereka. Bagi mereka hanya manatap wajah anaknya sudah memandai untuk merawat atau mengubati kerinduannya. Memang dari segi zahirnya mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi kerinduan atau kesunyian kerana mereka tidak mahu menyusahkan hidup anak-anak mereka, tetapi kita akan dapat lihat dengan mata kita sendiri  cahaya kegembiraan yang terpancar di muka mereka apabila kita menziarahi mereka dan kita dapat melihat bertapa sayunya hati mereka apabila kita hendak berjauhan lagi daripada mereka. Semua ini jelas membuktikan bahawa mereka mengharapkan kita bukannya harta mahupun pakaian, tetapi  melihat anaknya tahu mengenang jasa ibu bapanya iaitu iaitu orang yang telah membesarkan kita.  Rumusnya, kita haruslah sentiasa mengingati ibu bapa kita walau dimana kita berada sekalipun, tiada alasan untuk kita tidak menghubungi mereka. Hal ini kerana kita hidup di zaman moden yang serba canggih dan alat telekomunikasi kita juga sekarang ini tidak terhad kepada surat menyurat sahaja malah dengan bantuan beberapa cawangan telekomunikasi yang lain kita boleh berhubung dengan orang yang tersayang hanya dengan menekan butang dail nombornya sahaja. Oleh itu hubungilah ibu bapa kita jika kita tidak mampu melawat mereka kerana jarak rumah kita yang terlalu jauh daripada mereka.
             Nabi Muhammad telah bersabda bahawa doa merupakan senjata orang-orang mukmin. Selain daripada itu Rasulullah juga telah bersabda mafhumnya “apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya”, hadis riwayat muslim. Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa kita akan terus mendapat rahmat daripada Allah walaupun mereka sudah meninggal dunia jika kita sebagai anak mendoakan kebaikan kepada mereka. Hal ini juga ada dijelaskan dalam firman Allah, Surah Al-Mukmin ayat 60, mafhumnya “ berdoalah kamu kepada-Ku, pasti Aku akan perkenankannya”. Firman diatas menjelaskan bahawa Allah meletakkan satu perintah pada ayat “berdoalah” kerana Allah ingin menggalakkan hamba-hambanya berdoa kepadanya dan doa itu mestilah doa yang penuh dengan keikhlasan. Selain daripada itu Allah juga menyuruh hamba-hamba-Nya supaya bergantung hanya kepada-Nya sahaja. Lihatlah betapa hebatnya nilai doa di mata Allah dan Rasul-Nya. Oleh yang demikian salah satu langkah untuk membahagiakan ibu bapa kita adalah dengan selalu mendoakan kesejahteraan mereka tidak kira sama ada mereka masih hidup lagi ataupun yang telah meninggal dunia. Hal ini kerana kekuatan doa seorang anak yang soleh dapat menjanjikan kebahagian ibu bapa mereka di dunia dan di akhirat kelak insyaallah. Masa yang sesuai untuk kita berdoa tidak terhad kepada solat lima waktu sahaja, malah  pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja kita berada. Untuk memperolehi doa yang mustajab, seseorang itu haruslah berwudhuk dan menghadap kiblat ketika berdoa kerana amalan ini merupakan salah satu sunnah Rasulullah. Tidak salah jika kita tiada wudhuk cuma kita akan berasa berbeza jika kita berdoa tanpa wudhuk kerana hati kita mudah dihasut dengan bisikan-bisikan syaitan. Jika kita masih lagi tertanya-tanya apakah doa yang paling sesuai untuk mendoakan ibu bapa? Kita pun mulalah mencari-cari doanya tetapi apa yang kita jumpa kebanyakkannya doa dalam Bahasa Arab, tetapi kita tidak tahu atau memahami bahasa itu. Jangan risau dan jangan meletakkan diri kita dalam kebimbangan disebabkan dengan perkara-perkara tersebut. Doa yang paling mujarab ialah apabila kita berdoa kepada Ilahi dan berdoa dengan penuh syahdu dan kita memahami apa yang kita pinta daripada-Nya. Tidak salah jika kita hendak berdoa dalam bahasa selain daripada bahasa syurga kerana Allah Maha Memahami. Oleh itu tiada alasan lagi bagi kita tidak  mendoakan mereka. Tidak rugi walau sedikit duit kita apabila kita memohon kepada Allah malah hidup kita dirahmati oleh-Nya.
            Tangan diatas lebih baik daripada tangan di bawah. Pepatah ini menggambarkan bahawa orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. Persoalannya sekarang mengapakah orang memberi itu lebih baik? Adakah orang yang menerima itu tidak bagus? Bukan itu maksudnya, apa yang hendak diutarakan dalam pepatah ini ialah perbezaan perasaan orang yang memberi dan yang menerima.  Perasaan orang yang menerima mungkin dia akan berasa gembira kerana masih ada lagi orang yang menyayanginya, namun, perasaan orang yang memberi mungkin lebih daripada itu kerana orang yang memberi telah berjaya membuatkan perasaan si penerima itu menjadi ceria lebih-lebih lagi jika orang yang dia ingin gembirakan ialah orang yang dia paling sayang seperti ibu bapanya. Hari Ibu dan Hari Bapa merupakan hari yang paling sesuai untuk seorang anak memberi hadiah kepada orang tuanya itu. Persoalannya sekarang adakah  Islam membenarkan menyambut hari-hari tersebut? Bukankah berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun? Sebenarnya hujah ini boleh dikategorikan sebagai hujah yang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Hal ini kerana mustahil bagi kita dapat menemani mereka setiap masa kerana kita kadang-kadang sibuk dengan pekerjaan kita dan oleh sebab itu kita terpaksa meninggalkan ibu bapa kita.  Di samping itu, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa banyak faedahnya. Antaranya ialah kita dapat mengimbangi dengan adil masa kita berbuat baik kepada ibu bapa dan meneruskan kehidupan harian kita juga. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Oleh itu meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati bahawa hal ini dapat menggembirakan ibu bapa mereka, maka teruskanlah, namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibu bapa mereka tanpa terhad kepada hari-hari tertentu, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi. Natijahnya, tidak salah bagi kita menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa kerana kita bukan menyambut perayaan yang bersangkut-paut dengan keagamaan sesebuah kaum yang lain tetapi   perayaan ini bersangkut paut dengan adat-istiadat manusia, sama juga apabila kita meraikan Hari Guru, Hari Jadi dan sebagainya.
Konklusinya, setiap ibu bapa mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik di hadapan mereka. Mereka mengharapkan kita agar menjadi seorang manusia yang tahu mengenang jasa orang tuanya dan mereka sentiasa berdoa kepada Ilahi agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang tidak disukai mereka, dalam erti kata menjadi anak derhaka. Hal ini kerana anak yang derhaka kepada ibu bapanya tidak akan mendapat keberkatan dalam kehidupannya selagi dia tidak meminta ampun kepada mereka. Di samping itu juga sesiapa yang derhaka terhadap kedua orang tuanya akan disegerakan balasannya di dunia dan tidak akan terlepas di akhirat. Hal ini juga ada disebutkan dalam hadis Rasulullah mafhumnya “dua kejahatan yang disegerakan balasannya di dunia ialah orang yang melakukan zina dan seorang anak yang menderhakai kedua ibu bapa mereka.” Tambahan pula, perkara ini juga ada dijelaskan dalam hadis lain yang diriwayatkan al-Hakam mafhumnya, “semua dosa akan ditangguhkan oleh Allah, iaitu balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari perhitungan, kecuali balasan orang yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.” Semua hadis yang dinyatakan diatas tadi boleh menjadi satu bukti yang kukuh bahawa kita dilarang menderhakai ibu bapa kita dan kita dituntut untuk membahagiakan mereka seperti mana mereka pernah membahagiakan kita sewaktu kita kecil dahulu. Kesimpulannya, ingatlah bahawa walaupun kita membuat seribu satu kebaikan kepada mereka, tidak sekali pun terbayar jasa mereka yang selama ini membesarkan kita sejak kita dilahirkan di dunia ini lagi. Tanpa mereka siapalah kita. Oleh itu marilah kita sama-sama menghargai jasa pengorbanan mereka.
dikarang oleh mohd faiz

CINTA SEJATI


CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUimu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGanmu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!

Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihatmu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!

Cinta..
Menyebut namamu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janjimu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!

Cukup bagiku cintamu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang meyinariku..

Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta padamu..
Aku cinta pada takdirmu..
Aku cinta pada jalanmu..

Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..

Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman padaMu..

Wednesday, June 1, 2011

Peranan ibu bapa dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.



Dalam menyingkap tabir alaf baharu ini dan dalam proses mengharungi arus globalisasi yang bertolak pantas bagai ketil dibelut ekor, saban hari kita mesti dimomokkan dengan pelbagai berita tentang kes-kes jenayah yang semakin kritikal melanda di Negara kita ini. Antara kes jenayah perdana yang tidak pernah lekang menghiasi dada-dada akhbar ialah kes mencuri, merogol, ponteng sekolah, buli, vendalisme, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan banyak lagi. Lazimnya, kemelut ini sering dilakukan oleh generasi muda kita terutamanya mereka yang bergelar remaja. Senario ini seharusnya tidak boleh berlaku dalam Negara kita yang sedang membangun memacu ke arus kemodenan dan menghamparkan landasan keimanan ini. Persoalannya sekarang mengapakah masalah-masalah ini berlaku? Apakah punca-puncanya dan siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Persoalan ini sebenarnya telah lama bersarang dan menghantui di dalam kotak pemikiran kita cuma kita sahaja yang tidak mahu merungkaikannya kerana masing-masing dengan keegoannya itu iaitu pihak ini menyalahkan pihak itu dan sebaliknya. Permasalahan ini tidak akan selesai jika setiap pihak tidak memainkan peranan mereka dengan serius. Penyelesaian kepada permasalahan ini ialah remaja yang berkualiti datangnya daripada keluarga yang berintegriti. Hal ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Natijahnya, ibu bapa merupakan pihak utama yang harus memainkan peranan mereka dalam usaha mendidik anak mereka menjadi seorang insan yang berguna. Oleh yang demikan, marilah kita bersama-sama membincangkan apakah peranan yang harus dimainkan  oleh mereka.
Anak umpama kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakannya. Peribahasa diatas jelas menggambarkan bahawa ibu bapalah yang akan mencorakan keperibadian anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah memberikan anak mereka pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang sempurna ialah pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak mereka yang merangkumi segenap aspek iaitu duniawi dan ukhrawi. Pendidikan duniawi dapat mengajarkan anak-anak kita akan kepentingan ilmu dalam mengharungi arus kemodenan yang kian maju dari tahun ke tahun ini. Pendidikan ukhrawi pula dapat mendidik anak-anak mereka agar mentaati perintah Allah, Rasul-Nya, ibu bapa, dan saudara mereka. Bukan itu sahaja malah dengan didikan ini anak-anak akan dapat membezakan antara perkara hak dan yang batil. Hal ini kerana apabila kedua-dua pendidikan ini dapat diterapkan dan disemadikan dalam diri anak-anak mereka, maka keseimbangan rohani dan jasmani anak-anak mereka semakin kental dan mantap ibarat sebuah perisai yang ditempa daripada sumber galian yang berkualiti yang dapat mematahkan segala serangan pihak lawan di sekeliling mereka. Natijahnya, apabila anak-anak mereka berhijrah tidak kira walau di mana sekali pun mereka berada, mereka akan dapat menjaga diri mereka serta dapat menjauhkan diri daripada kancah jenayah ini. Oleh itu, ibu bapa haruslah meletakkan kepercayaan mereka kepada anak-anaknya bahawa anak-anak mereka dapat menghindarkan diri daripada dinodai oleh dunia jenayah yang kian marabahaya ini!
Tak kenal maka tak cinta. Khazanah kata ini jelas menggambarkan bahawa jika kita tidak tahu atau kenal sesuatu itu maka kita tidak akan tertarik kepadanya, tetapi isu yang saya hendak utarakan yang sebenarnya adalah perkara yang sebaliknya. Halnya adalah jika kita tahu atau kenal bahawa sesuatu perkara itu dapat memudaratkan diri kita pada masa akan datang maka kita akan membencinya. Oleh yang demikian, peranan seterusnya yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja adalah dengan mendedahkan kepada anak-anak mereka akan keburukan pengambilan najis dadah ini! Jika kita berjaya mempengaruhi pemikiran anak-anak kita dengan memahamkan fakta-fakta tentang implikasi yang akan diterima apabila menyalahgunakan dadah ini kepada mereka secara terperinci, jelas dan efektif nescaya mereka akan menjauhi perkara tersebut. Walaupun sudah berjaya memahamkan mereka tentang hal ini, ibu bapa seharusnya tidak boleh berasa senang atau bergoyang kaki kerana pengaruh anda mungkin atau lebih tepat lagi mudah dikalahkan dan dipatahkan oleh pengaruh yang lebih besar lagi kelak! Oleh yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa haruslah menyediakan pelbagai langkah yang efektif dengan senantiasa melihat perkembangan tumbesaran anak-anak mereka terutama waktu meraka berada di alam remaja yang penuh dengan cabaran yang tidak dapat diduga apakah bentuk cabaran yang bakal mereka tempuhi di pintu gerbang permulaan  alam remaja anak-anak mereka itu serta mengawasi pergaulan anak-anak mereka bersama-sama dengan rakan-rakan di sekeliling mereka. Bukan sahaja rakan-rakan mereka yang harus di pantau sepanjang masa malah dengan kaum kerabat yang terdekat seperti sepupu-sepupu mereka juga harus diawasi dengan cermat. Natijahnya, ibu bapa haruslah  berfikiran  kreatif, kritis dan inovatif serta sanggup menerima sebarang kemungkinan dan menyelasaikannya secara sistematik dan proaktif.
Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Madah klasik ini menggambarkan bahawa perangai anak-anak mereka mesti seiras dengan perangai ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa yang seterusnya ialah menjadi “Role Model” kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa merupakan sahabat, penggalak, teman, pembimbing, pemudahcara dan tempat mereka mengadu akan masalah mereka kerana  ibu bapa merupakan orang yang paling hampir sekali di hati anak-anak mereka. Hal ini dapat  dibuktikan lagi dengan fakta menarik ini iaitu sejahat manapun anak mereka itu pasti jauh di dalam lubuk sanubari mereka, perasaan sayang akan ibu bapa mereka masih lagi terpahat dengan erat. Untuk mengukuhkan lagi keterangan di atas marilah kita bersama-sama mengimbas kembali tentang kisah “Anak Ku Sazali” iaitu sebuah filem melayu yang terkenal dan tidak asing lagi bagi kita dan filem ini juga pernah mengharumkan nama Negara kita di persada dunia. Dalam filem ini mengisahkan seorang anak yang bernama Sazali. Semasa dia menjadi orang dewasa, dia menjadi ketua perompak dan akhirnya menghancurkan hati ayahnya yang selama ini menjaga dia dengan penuh kasih sayang serta menaruh harapan agar anaknya menjadi orang yang berguna di masa hadapan, tetapi apabila organisasi dia telah di serbu oleh pihak polis dia dapat melarikan diri dan akhirnya dia pulang ke rumah meminta perlindungan dan memohon kemaafan daripada ayahnya. Kesimpulannya, ibu bapa janganlah terlalu mengongkong atau memberi kebebasan kepada anak-anak mereka kerana tindakkan itu pasti berakhir dengan tragedi yang tidak diingini. Secara sterotaipnya, sebagai ibu bapa, kita haruslah menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa merupakan cermin keperibadian mereka. Hal ini kerana tanpa ibu bapa siapalah mereka.
Nilai “Rumahku, Syurgaku” haruslah ditanam dan dipupuk dalam hati setiap anak-anak mereka. Hal ini supaya anak-anak mereka tidak menganggap rumah mereka sebagai sebuah penjara atas sebab pergerakkan mereka terbatas sekali gus tidak dapat melakukan aktiviti harian mereka dengan bebas. Ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka yang sering bersosial dan  meluangkan masa mereka di rumah bersama-sama ibu bapa, ibu bapa haruslah juga meluangkan masa mereka bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa juga haruslah tidak membawa masalah pekerjaan mereka di luar sana ke dalam rumah dan akhirnya membawa kepada peperangan mulut antara suami dan isteri. Jika hal ini berlaku tidak hairanlah akan menatijahkan anak-anak mereka  akan berasa tertekan di rumah kerana hal ini dapat memberi implikasi yang amat kritikal kepada  emosi anak-anak mereka sekali gus anak-anak mereka mulalah lari daripada rumah dan seterusnya mulalah mendekati dunia jenayah seperti mengambil dadah untuk dijadikan sebagai satu alat yang dapat melupakan masalah yang sedang bergelora didalam hati mereka. Bukan itu sahaja malah ibu bapa juga haruslah sedia menjadi pendengar dan penasihat dalam usaha  menyelami permasalahan yang telah lama bersarang di dalam hati mereka. Tambahan pula  ibu bapa haruslah mengadakan program untuk keluarga mereka seperti bergotong-royong, berkelah, bercuti ke tempat yang tenang dan indah agar dapat mengeratkan hubungan atau ikatan silaturahim antara satu sama lain. Intihanya, ibu bapa haruslah bijak merangka dan mengatur jadualnya untuk membahagikan antara waktu bekerja dan waktu bersama-sama anak-anak agar kepala anda tidak pening sekali gus tidak kekok meluangkan masa bersama-sama anak-anak mereka.
Konklusinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka dari kecil lagi. Peranan ibu bapa dalam membentuk jati diri dan sahsiah anak-anak mereka amat penting sekali untuk menjadikan anak-anak mereka seorang modal insan yang berguna. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan hasrat itu, ibu bapa haruslah memberikan komitmen yang baik dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu bapa agar dapat menjadi ibu bapa yang cemerlang di mata anak-anak mereka. Selain itu, corak kepimpinan kita haruslah bercorakkan kepimpinan yang adil dan saksama iaitu satu corak kepimpinan yang memimpin kearah ukhrawi dan duniawi yang berlandaskan Quran dan Sunnah kekasih kita. Di samping itu, ibu bapa juga haruslah mengambil nasihat daripada Umar Al-Khattab iaitu salah seorang pemimpin yang tegas dalam melaksanakan amanahnya dalam menerajui Kerajaan Islam Madinah saat itu. Nasihatnya adalah janganlah didik anak-anak kita seperti zaman kita dididik tetapi didiklah mereka mengikut peredaran zaman yang sedang mereka lalui. Tuntasnya, anak berkualiti datangnya daripada keluarga yang berintegriti dan keluarga yang berintegriti datangnya daripada ibu bapa yang berkualiti iaitu ibu bapa yang bijak mengaturkan urusan keluarganya dengan baik dan berdedikasi. 
dikarang oleh mohd faiz