BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 1, 2011

Peranan ibu bapa dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.



Dalam menyingkap tabir alaf baharu ini dan dalam proses mengharungi arus globalisasi yang bertolak pantas bagai ketil dibelut ekor, saban hari kita mesti dimomokkan dengan pelbagai berita tentang kes-kes jenayah yang semakin kritikal melanda di Negara kita ini. Antara kes jenayah perdana yang tidak pernah lekang menghiasi dada-dada akhbar ialah kes mencuri, merogol, ponteng sekolah, buli, vendalisme, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan banyak lagi. Lazimnya, kemelut ini sering dilakukan oleh generasi muda kita terutamanya mereka yang bergelar remaja. Senario ini seharusnya tidak boleh berlaku dalam Negara kita yang sedang membangun memacu ke arus kemodenan dan menghamparkan landasan keimanan ini. Persoalannya sekarang mengapakah masalah-masalah ini berlaku? Apakah punca-puncanya dan siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Persoalan ini sebenarnya telah lama bersarang dan menghantui di dalam kotak pemikiran kita cuma kita sahaja yang tidak mahu merungkaikannya kerana masing-masing dengan keegoannya itu iaitu pihak ini menyalahkan pihak itu dan sebaliknya. Permasalahan ini tidak akan selesai jika setiap pihak tidak memainkan peranan mereka dengan serius. Penyelesaian kepada permasalahan ini ialah remaja yang berkualiti datangnya daripada keluarga yang berintegriti. Hal ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Natijahnya, ibu bapa merupakan pihak utama yang harus memainkan peranan mereka dalam usaha mendidik anak mereka menjadi seorang insan yang berguna. Oleh yang demikan, marilah kita bersama-sama membincangkan apakah peranan yang harus dimainkan  oleh mereka.
Anak umpama kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakannya. Peribahasa diatas jelas menggambarkan bahawa ibu bapalah yang akan mencorakan keperibadian anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah memberikan anak mereka pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang sempurna ialah pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak mereka yang merangkumi segenap aspek iaitu duniawi dan ukhrawi. Pendidikan duniawi dapat mengajarkan anak-anak kita akan kepentingan ilmu dalam mengharungi arus kemodenan yang kian maju dari tahun ke tahun ini. Pendidikan ukhrawi pula dapat mendidik anak-anak mereka agar mentaati perintah Allah, Rasul-Nya, ibu bapa, dan saudara mereka. Bukan itu sahaja malah dengan didikan ini anak-anak akan dapat membezakan antara perkara hak dan yang batil. Hal ini kerana apabila kedua-dua pendidikan ini dapat diterapkan dan disemadikan dalam diri anak-anak mereka, maka keseimbangan rohani dan jasmani anak-anak mereka semakin kental dan mantap ibarat sebuah perisai yang ditempa daripada sumber galian yang berkualiti yang dapat mematahkan segala serangan pihak lawan di sekeliling mereka. Natijahnya, apabila anak-anak mereka berhijrah tidak kira walau di mana sekali pun mereka berada, mereka akan dapat menjaga diri mereka serta dapat menjauhkan diri daripada kancah jenayah ini. Oleh itu, ibu bapa haruslah meletakkan kepercayaan mereka kepada anak-anaknya bahawa anak-anak mereka dapat menghindarkan diri daripada dinodai oleh dunia jenayah yang kian marabahaya ini!
Tak kenal maka tak cinta. Khazanah kata ini jelas menggambarkan bahawa jika kita tidak tahu atau kenal sesuatu itu maka kita tidak akan tertarik kepadanya, tetapi isu yang saya hendak utarakan yang sebenarnya adalah perkara yang sebaliknya. Halnya adalah jika kita tahu atau kenal bahawa sesuatu perkara itu dapat memudaratkan diri kita pada masa akan datang maka kita akan membencinya. Oleh yang demikian, peranan seterusnya yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja adalah dengan mendedahkan kepada anak-anak mereka akan keburukan pengambilan najis dadah ini! Jika kita berjaya mempengaruhi pemikiran anak-anak kita dengan memahamkan fakta-fakta tentang implikasi yang akan diterima apabila menyalahgunakan dadah ini kepada mereka secara terperinci, jelas dan efektif nescaya mereka akan menjauhi perkara tersebut. Walaupun sudah berjaya memahamkan mereka tentang hal ini, ibu bapa seharusnya tidak boleh berasa senang atau bergoyang kaki kerana pengaruh anda mungkin atau lebih tepat lagi mudah dikalahkan dan dipatahkan oleh pengaruh yang lebih besar lagi kelak! Oleh yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa haruslah menyediakan pelbagai langkah yang efektif dengan senantiasa melihat perkembangan tumbesaran anak-anak mereka terutama waktu meraka berada di alam remaja yang penuh dengan cabaran yang tidak dapat diduga apakah bentuk cabaran yang bakal mereka tempuhi di pintu gerbang permulaan  alam remaja anak-anak mereka itu serta mengawasi pergaulan anak-anak mereka bersama-sama dengan rakan-rakan di sekeliling mereka. Bukan sahaja rakan-rakan mereka yang harus di pantau sepanjang masa malah dengan kaum kerabat yang terdekat seperti sepupu-sepupu mereka juga harus diawasi dengan cermat. Natijahnya, ibu bapa haruslah  berfikiran  kreatif, kritis dan inovatif serta sanggup menerima sebarang kemungkinan dan menyelasaikannya secara sistematik dan proaktif.
Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Madah klasik ini menggambarkan bahawa perangai anak-anak mereka mesti seiras dengan perangai ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa yang seterusnya ialah menjadi “Role Model” kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa merupakan sahabat, penggalak, teman, pembimbing, pemudahcara dan tempat mereka mengadu akan masalah mereka kerana  ibu bapa merupakan orang yang paling hampir sekali di hati anak-anak mereka. Hal ini dapat  dibuktikan lagi dengan fakta menarik ini iaitu sejahat manapun anak mereka itu pasti jauh di dalam lubuk sanubari mereka, perasaan sayang akan ibu bapa mereka masih lagi terpahat dengan erat. Untuk mengukuhkan lagi keterangan di atas marilah kita bersama-sama mengimbas kembali tentang kisah “Anak Ku Sazali” iaitu sebuah filem melayu yang terkenal dan tidak asing lagi bagi kita dan filem ini juga pernah mengharumkan nama Negara kita di persada dunia. Dalam filem ini mengisahkan seorang anak yang bernama Sazali. Semasa dia menjadi orang dewasa, dia menjadi ketua perompak dan akhirnya menghancurkan hati ayahnya yang selama ini menjaga dia dengan penuh kasih sayang serta menaruh harapan agar anaknya menjadi orang yang berguna di masa hadapan, tetapi apabila organisasi dia telah di serbu oleh pihak polis dia dapat melarikan diri dan akhirnya dia pulang ke rumah meminta perlindungan dan memohon kemaafan daripada ayahnya. Kesimpulannya, ibu bapa janganlah terlalu mengongkong atau memberi kebebasan kepada anak-anak mereka kerana tindakkan itu pasti berakhir dengan tragedi yang tidak diingini. Secara sterotaipnya, sebagai ibu bapa, kita haruslah menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa merupakan cermin keperibadian mereka. Hal ini kerana tanpa ibu bapa siapalah mereka.
Nilai “Rumahku, Syurgaku” haruslah ditanam dan dipupuk dalam hati setiap anak-anak mereka. Hal ini supaya anak-anak mereka tidak menganggap rumah mereka sebagai sebuah penjara atas sebab pergerakkan mereka terbatas sekali gus tidak dapat melakukan aktiviti harian mereka dengan bebas. Ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka yang sering bersosial dan  meluangkan masa mereka di rumah bersama-sama ibu bapa, ibu bapa haruslah juga meluangkan masa mereka bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa juga haruslah tidak membawa masalah pekerjaan mereka di luar sana ke dalam rumah dan akhirnya membawa kepada peperangan mulut antara suami dan isteri. Jika hal ini berlaku tidak hairanlah akan menatijahkan anak-anak mereka  akan berasa tertekan di rumah kerana hal ini dapat memberi implikasi yang amat kritikal kepada  emosi anak-anak mereka sekali gus anak-anak mereka mulalah lari daripada rumah dan seterusnya mulalah mendekati dunia jenayah seperti mengambil dadah untuk dijadikan sebagai satu alat yang dapat melupakan masalah yang sedang bergelora didalam hati mereka. Bukan itu sahaja malah ibu bapa juga haruslah sedia menjadi pendengar dan penasihat dalam usaha  menyelami permasalahan yang telah lama bersarang di dalam hati mereka. Tambahan pula  ibu bapa haruslah mengadakan program untuk keluarga mereka seperti bergotong-royong, berkelah, bercuti ke tempat yang tenang dan indah agar dapat mengeratkan hubungan atau ikatan silaturahim antara satu sama lain. Intihanya, ibu bapa haruslah bijak merangka dan mengatur jadualnya untuk membahagikan antara waktu bekerja dan waktu bersama-sama anak-anak agar kepala anda tidak pening sekali gus tidak kekok meluangkan masa bersama-sama anak-anak mereka.
Konklusinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka dari kecil lagi. Peranan ibu bapa dalam membentuk jati diri dan sahsiah anak-anak mereka amat penting sekali untuk menjadikan anak-anak mereka seorang modal insan yang berguna. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan hasrat itu, ibu bapa haruslah memberikan komitmen yang baik dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu bapa agar dapat menjadi ibu bapa yang cemerlang di mata anak-anak mereka. Selain itu, corak kepimpinan kita haruslah bercorakkan kepimpinan yang adil dan saksama iaitu satu corak kepimpinan yang memimpin kearah ukhrawi dan duniawi yang berlandaskan Quran dan Sunnah kekasih kita. Di samping itu, ibu bapa juga haruslah mengambil nasihat daripada Umar Al-Khattab iaitu salah seorang pemimpin yang tegas dalam melaksanakan amanahnya dalam menerajui Kerajaan Islam Madinah saat itu. Nasihatnya adalah janganlah didik anak-anak kita seperti zaman kita dididik tetapi didiklah mereka mengikut peredaran zaman yang sedang mereka lalui. Tuntasnya, anak berkualiti datangnya daripada keluarga yang berintegriti dan keluarga yang berintegriti datangnya daripada ibu bapa yang berkualiti iaitu ibu bapa yang bijak mengaturkan urusan keluarganya dengan baik dan berdedikasi. 
dikarang oleh mohd faiz

0 comments: