BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 2, 2011

JELASKAN PERANAN ANDA SEBAGAI ANAK UNTUK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA


Sedar atau tidak ibu bapa merupakan insan yang paling hampir dengan kita. Hampir seluruh masanya dihabiskan hanya memikirkan kebahagiaan anak-anak mereka. Mereka sanggup berlapar, berpenat lelah  semata-mata ingin membesarkan anak-anak mereka agar mereka terus hidup menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Tetapi apa yang sudah berlaku kepada kita sekarang  sewaktu mereka mencecah usia tua mereka dan mengharapkan kita untuk menjaga  mereka? Tentu kita berasa sedih dan kesian tetapi akan ada sedikit sebanyak jauh dalam lubuk sanubari kita akan merasakan satu beban untuk menjaga mereka lagi-lagi  jika mereka terlalu cerewit dan mungkin juga berasa geram, marah dan malas hendak melayani kerenah mereka. Untuk membuktikan lagi keterangan saya di atas, saya akan menceritakan secara ringkas kisah benar tentang Saidina Umar Al-Khattab R.A.H terserempak dengan salah satu rakyatnya. Satu hari semasa beliau meninjau keadaan rakyatnya, beliau ternampak seorang wanita di mana mukanya  terserlah kelihatan seribu satu kesedihan. Perempuan itu sedang menyuapkan makanan kepada seorang lelaki yang uzur. Beliau pergi mendekatinya dan menanyakan perempuan itu soalan ,“siapakah lelaki ini?” jawab perempuan itu “ ayah aku”. Beliau terus menyoal lagi “mengapakah kau kelihatan sedih? Adakah sebab lelaki ini sakit?” jawab perempuan itu “tidak, tetapi aku sedih sebab lelaki ini sewaktu mudanya menjaga aku agar aku terus hidup tetapi sekarang apabila waktu dia tua aku menjaganya tetapi dalam hati aku berasa satu beban yang berat kerana aku tidak larat lagi melayan kerenahnya dan melihat dia menderita”. Mendengar sahaja  jawapan daripada perempuan itu, hati beliau mula sebak disebabkan jawapannya itu memang benar. Walaubagaimanapun selagi kita digelar sebagai seorang anak, kita wajib menjaga kedua ibu bapa kita. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah dalam Surah Luqman ayat 14 mafhumnya “Dan kami (Allah) mewajibkan menusia berbuat baik terhadap ibu bapanya…. Natijahnya kita sebagai seorang anak haruslah membahagiakan ibu bapa kita sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka kerana mereka menjaga kita selama ini. Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama membincangkan peranan kita sebagai anak apakah cara-cara membahagiakan ibu bapa kita.
            Sudah menjadi fitrah bahawa manusia mempunyai perasaan. Perasaan ialah salah satu sifat yang diciptakan oleh Allah kepada manusia. Perasaan merupakan egen yang mencerminkan atau menggambarkan sesuatu situasi seseorang itu sama ada dalam keadaan marah, suka, kecewa, dan sebagainya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bagi kita jika melihat ibu bapa kita beremosi kepada kita di mana kadang-kadang mereka suka dan duka kerana tingkah laku kita. Hal ini kerana mereka juga  manusia yang diciptakan oleh Allah dan mereka juga dianugerahkan perasaan di dalam diri mereka. Oleh itu, kita sebagai anak haruslah membalas jasa ibu bapa kita dengan menghadiahkan mereka sebuah kebahagian, Perkara perdana yang harus dilakukan oleh kita ialah menjaga hati dan perasaan mereka. Persoalannnya sekarang bagaimana kita hendak menjaga perasaan mereka? Bagaimana pula kita hendak mengetahui isi hati mereka? Jawapannya ialah kita hendaklah cuba menyelami perasaan mereka dengan berlakon kita ini seolah-olah berada di tempat mereka, dan fikirkanlah apakah yang kita mahukan daripada anak kita? Sudah tentu jawapannya ialah ingin melihat anak kita menjadi seorang anak yang mentaati kedua ibu bapa mereka seperti menghormati mereka, menjaga hati mereka, menjaga maruah mereka, menunjukkan tingkah laku yang sopan di hadapan mereka dan lain-lain lagi. Salah satu amalan yang harus diikuti ialah dengan melaksanakan segala suruhan mereka selagi mana suruhan mereka tidak bercanggah daripada ajaran Islam. Rumusnya, kita hendaklah memenuhi segala arahan mereka jika mereka menyuruh kita membuat perkara-perkara yang baik tetapi jika mereka menyuruh kita membuat perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah, kita wajib mengingkari arahan tersebut kerana arahan itu akan membawa kita ke jalan yang sesat. Walaubagaimanapun Islam telah melarang seorang anak mengeluarkan kata-kata kesat serta meninggikan suara kepada ibu bapa sungguhpun apabila anak itu hendak menegur kesalahan ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, kita haruslah menegur mereka dengan cara yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah. Untuk mengukuhkan lagi keterangan diatas, marilah kita sama-sama renungkan kisah seorang sahabat Nabi kita iaitu Mus’ab dimana ibunya beragama kafir sedangkan dia telah memeluk Agama Islam. Dalam kisah ini ibunya mula merajuk dan menggertak anaknya supaya pulang kepada agama nenek moyangnya dahulu. Ibunya menggertak anaknya dimana dia akan mati kebuluran jika anaknya tidak mahu kembali ke ajaran sesat itu dan anaknya enggan lalu menerangkan sesuatu kepada ibunya dengan butir-butir kata yang penuh rasa hormat dan belas kasihan. Keterangan anak itu ialah “jika tuhan memberi kepada kamu seribu nyawa dan kamu cuba membunuh dirimu seribu kali juga, jawapan aku tetap sama aku akan tetap berpegang teguh dengan agama aku dan ibu dengan agama ibu”. Walaupun Islam meninggikan darjad kedua ibu bapa kita tetapi agama tidak boleh dipermainkan dan dipermudah-mudahkan. Oleh yang demikian, kita haruslah mendengar segala suruhan ibu bapa kita selagi mereka menyuruh kepada perkara yang makruf dan tegurlah mereka dengan baik jika mereka membuat kesilapan.
            Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kita tidak memotongnya maka dia akan memotong kita. Kata hukama’ diatas menggambarkan bahawa pengurusan masa yang bijak harus dilakukan agar kita tidak dianggap bagai enau dalam belukar. Oleh yang demikian, kita hendaklah mengisi waktu senggang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermaslahat. Hal ini kerana kita tidak tahu sama ada waktu lapang yang kita ada sekarang ini mungkin tidak akan datang lagi kepada kita. Oleh sebab itu, tidak rugilah jika kita menghabiskan sebahagian masa yang kita ada ini dengan menjenguk atau melawat keadaan ibu bapa kita. Mungkin amalan ini dipandang enteng oleh sesetengah pihak kerana mereka belum lagi  menyedari  bahawa amalan ini secara tidak langsung dapat memancarkan sedikit sinar kebahagian pada raut wajah orang tuanya itu. Selain daripada itu, amalan ini juga turut bertindak sebagai penawar kepada hati mereka yang selama ini menahan perasaan sunyi dan kerinduan mereka terhadap anak mereka. Hal ini kerana  hati manusia sering berubah-ubah dan mudah beremosi apabila umurnya semakin meningkat  Jadi tidak hairanlah jika mereka memeluk kita dengan erat bahkan mengalirkan air mata kegembiraannya apabila melihat wajah insan tersayang mereka. Bagi mereka hanya manatap wajah anaknya sudah memandai untuk merawat atau mengubati kerinduannya. Memang dari segi zahirnya mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi kerinduan atau kesunyian kerana mereka tidak mahu menyusahkan hidup anak-anak mereka, tetapi kita akan dapat lihat dengan mata kita sendiri  cahaya kegembiraan yang terpancar di muka mereka apabila kita menziarahi mereka dan kita dapat melihat bertapa sayunya hati mereka apabila kita hendak berjauhan lagi daripada mereka. Semua ini jelas membuktikan bahawa mereka mengharapkan kita bukannya harta mahupun pakaian, tetapi  melihat anaknya tahu mengenang jasa ibu bapanya iaitu iaitu orang yang telah membesarkan kita.  Rumusnya, kita haruslah sentiasa mengingati ibu bapa kita walau dimana kita berada sekalipun, tiada alasan untuk kita tidak menghubungi mereka. Hal ini kerana kita hidup di zaman moden yang serba canggih dan alat telekomunikasi kita juga sekarang ini tidak terhad kepada surat menyurat sahaja malah dengan bantuan beberapa cawangan telekomunikasi yang lain kita boleh berhubung dengan orang yang tersayang hanya dengan menekan butang dail nombornya sahaja. Oleh itu hubungilah ibu bapa kita jika kita tidak mampu melawat mereka kerana jarak rumah kita yang terlalu jauh daripada mereka.
             Nabi Muhammad telah bersabda bahawa doa merupakan senjata orang-orang mukmin. Selain daripada itu Rasulullah juga telah bersabda mafhumnya “apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya”, hadis riwayat muslim. Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa kita akan terus mendapat rahmat daripada Allah walaupun mereka sudah meninggal dunia jika kita sebagai anak mendoakan kebaikan kepada mereka. Hal ini juga ada dijelaskan dalam firman Allah, Surah Al-Mukmin ayat 60, mafhumnya “ berdoalah kamu kepada-Ku, pasti Aku akan perkenankannya”. Firman diatas menjelaskan bahawa Allah meletakkan satu perintah pada ayat “berdoalah” kerana Allah ingin menggalakkan hamba-hambanya berdoa kepadanya dan doa itu mestilah doa yang penuh dengan keikhlasan. Selain daripada itu Allah juga menyuruh hamba-hamba-Nya supaya bergantung hanya kepada-Nya sahaja. Lihatlah betapa hebatnya nilai doa di mata Allah dan Rasul-Nya. Oleh yang demikian salah satu langkah untuk membahagiakan ibu bapa kita adalah dengan selalu mendoakan kesejahteraan mereka tidak kira sama ada mereka masih hidup lagi ataupun yang telah meninggal dunia. Hal ini kerana kekuatan doa seorang anak yang soleh dapat menjanjikan kebahagian ibu bapa mereka di dunia dan di akhirat kelak insyaallah. Masa yang sesuai untuk kita berdoa tidak terhad kepada solat lima waktu sahaja, malah  pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja kita berada. Untuk memperolehi doa yang mustajab, seseorang itu haruslah berwudhuk dan menghadap kiblat ketika berdoa kerana amalan ini merupakan salah satu sunnah Rasulullah. Tidak salah jika kita tiada wudhuk cuma kita akan berasa berbeza jika kita berdoa tanpa wudhuk kerana hati kita mudah dihasut dengan bisikan-bisikan syaitan. Jika kita masih lagi tertanya-tanya apakah doa yang paling sesuai untuk mendoakan ibu bapa? Kita pun mulalah mencari-cari doanya tetapi apa yang kita jumpa kebanyakkannya doa dalam Bahasa Arab, tetapi kita tidak tahu atau memahami bahasa itu. Jangan risau dan jangan meletakkan diri kita dalam kebimbangan disebabkan dengan perkara-perkara tersebut. Doa yang paling mujarab ialah apabila kita berdoa kepada Ilahi dan berdoa dengan penuh syahdu dan kita memahami apa yang kita pinta daripada-Nya. Tidak salah jika kita hendak berdoa dalam bahasa selain daripada bahasa syurga kerana Allah Maha Memahami. Oleh itu tiada alasan lagi bagi kita tidak  mendoakan mereka. Tidak rugi walau sedikit duit kita apabila kita memohon kepada Allah malah hidup kita dirahmati oleh-Nya.
            Tangan diatas lebih baik daripada tangan di bawah. Pepatah ini menggambarkan bahawa orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. Persoalannya sekarang mengapakah orang memberi itu lebih baik? Adakah orang yang menerima itu tidak bagus? Bukan itu maksudnya, apa yang hendak diutarakan dalam pepatah ini ialah perbezaan perasaan orang yang memberi dan yang menerima.  Perasaan orang yang menerima mungkin dia akan berasa gembira kerana masih ada lagi orang yang menyayanginya, namun, perasaan orang yang memberi mungkin lebih daripada itu kerana orang yang memberi telah berjaya membuatkan perasaan si penerima itu menjadi ceria lebih-lebih lagi jika orang yang dia ingin gembirakan ialah orang yang dia paling sayang seperti ibu bapanya. Hari Ibu dan Hari Bapa merupakan hari yang paling sesuai untuk seorang anak memberi hadiah kepada orang tuanya itu. Persoalannya sekarang adakah  Islam membenarkan menyambut hari-hari tersebut? Bukankah berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun? Sebenarnya hujah ini boleh dikategorikan sebagai hujah yang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Hal ini kerana mustahil bagi kita dapat menemani mereka setiap masa kerana kita kadang-kadang sibuk dengan pekerjaan kita dan oleh sebab itu kita terpaksa meninggalkan ibu bapa kita.  Di samping itu, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa banyak faedahnya. Antaranya ialah kita dapat mengimbangi dengan adil masa kita berbuat baik kepada ibu bapa dan meneruskan kehidupan harian kita juga. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Oleh itu meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati bahawa hal ini dapat menggembirakan ibu bapa mereka, maka teruskanlah, namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibu bapa mereka tanpa terhad kepada hari-hari tertentu, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi. Natijahnya, tidak salah bagi kita menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa kerana kita bukan menyambut perayaan yang bersangkut-paut dengan keagamaan sesebuah kaum yang lain tetapi   perayaan ini bersangkut paut dengan adat-istiadat manusia, sama juga apabila kita meraikan Hari Guru, Hari Jadi dan sebagainya.
Konklusinya, setiap ibu bapa mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik di hadapan mereka. Mereka mengharapkan kita agar menjadi seorang manusia yang tahu mengenang jasa orang tuanya dan mereka sentiasa berdoa kepada Ilahi agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang tidak disukai mereka, dalam erti kata menjadi anak derhaka. Hal ini kerana anak yang derhaka kepada ibu bapanya tidak akan mendapat keberkatan dalam kehidupannya selagi dia tidak meminta ampun kepada mereka. Di samping itu juga sesiapa yang derhaka terhadap kedua orang tuanya akan disegerakan balasannya di dunia dan tidak akan terlepas di akhirat. Hal ini juga ada disebutkan dalam hadis Rasulullah mafhumnya “dua kejahatan yang disegerakan balasannya di dunia ialah orang yang melakukan zina dan seorang anak yang menderhakai kedua ibu bapa mereka.” Tambahan pula, perkara ini juga ada dijelaskan dalam hadis lain yang diriwayatkan al-Hakam mafhumnya, “semua dosa akan ditangguhkan oleh Allah, iaitu balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari perhitungan, kecuali balasan orang yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.” Semua hadis yang dinyatakan diatas tadi boleh menjadi satu bukti yang kukuh bahawa kita dilarang menderhakai ibu bapa kita dan kita dituntut untuk membahagiakan mereka seperti mana mereka pernah membahagiakan kita sewaktu kita kecil dahulu. Kesimpulannya, ingatlah bahawa walaupun kita membuat seribu satu kebaikan kepada mereka, tidak sekali pun terbayar jasa mereka yang selama ini membesarkan kita sejak kita dilahirkan di dunia ini lagi. Tanpa mereka siapalah kita. Oleh itu marilah kita sama-sama menghargai jasa pengorbanan mereka.
dikarang oleh mohd faiz

0 comments: