BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, August 26, 2011

KEBAIKAN PROGRAM REALITI



Sejak belakangan ini dunia hiburan dari hari ke hari semakin popular di kalangan remaja. Program realiti  hiburan merupakan salah satu bentuk hiburan yang tidak pernah lekang daripada menghiasai bibir-bibir remaja kini. Program realiti hiburan ialah sebuah rancangan realiti yang memaparkan bakat-bakat baru yang telah lama terpendam di dalam jiwa remaja zaman ini. Antara contoh program realiti  hiburan yang acap kali menjadi topik utama perbualan remaja kini ialah rancantan Imam Muda  iaitu sebuah  program yang mencari imam atau pemimpin yang bijak berhujah dalam isu-isu agama untuk dijadikan “Role Model” kepada remaja-remaja kini, selain itu rancangan Akademi Fantasia iaitu sebuah rancangan yang mencari pemuda yang memiliki bakat menyanyi agar dapat mengetengahkan muzik-muzik tanah air di persada dunia, dan rancangan-rancangan yang lain. Antara faktor program realiti hiburan ini menjadi topik hangat dalam perbualan khalayak remaja adalah kerana program ini mempunyai cirri-ciri dan keunikannya yang tersendiri. Antara keunikannya ialah peserta-peserta akan diuji dengan pelbagai tugasan  yang semakin mencabar dari hari ke hari, mempunyai sistem undian yang memberi peluang kepada penonton untuk menilai dan memilih peserta yang terbaik serta pelbagai kejutan yang dibuat oleh pihak penganjur agar penonton tidak jemuh melihat aksi-aksi peserta dalam menyelesaikan tugasan mereka. Walaubagaimanapun, masih banyak lagi pihak terutamanya daripada kalangan orang dewasa ini menganggap bahawa program-program hiburan seperti ini banyak menyumbangkan kesan negatifnya daripada kesan positifnya. Sudah semestinya bukan senang untuk kita mengubah persepsi mereka tentang hal ini jika kita tidak menjelaskan antara kebaikan program-program seperti ini yang boleh diperolehi kepada mereka dengan baik dan efektif. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama membincangkan antara kebaikan program realiti hiburan ini agar masyarakat kita dapat melihat akan kepentingan program ini dalam menjana revolusi di dalam industri hiburan tanah air kita
Kalau tidak pecahkan ruyung mana dapat sagunya. Madah melayu ini juga amat sinonim sekali dengan kata hukama’ “man jadda wajada”  bermaksud sesiapa yang hendak maka dia akan mendapatkannya. Kedua-dua madah ini membawa gambaran yang sinonim sekali iaitu seseorang itu jika tidak berusaha untuk mendapatkan sesuatu benda itu masakan dapat hasilnya. Hal ini sama juga dengan situasi remaja sekarang ini bagai pahat dengan penukul, kena tegur dahulu baru hendak melakukan kerjanya. Contoh yang paling dekat untuk menerangkan situasi ini dengan lebih lanjut ialah kebanyakan remaja sekarang ini tidak akan menyelesaikan kerja sekolah mereka selagi mana guru-guru mereka tidak melakukan sesuatu terhadap pelajarnya itu. Begitu juga dengan bakat istimewa mereka yang sekarang ini masih tidur lena di dalam dirinya, hanya menunggu masanya yang sesuai sahaja untuk dikejutkan bakat itu. Jika bakat ini dapat dikejutkan, maka satu keajaiban- masa depan akan menjadi semakin cerah, dan mudah dikecapi akan dirasai oleh pelajar tersebut. Untuk mengejutkan atau menonjolkan bakat itu kerajaan telah melakukan pelbagai usaha seperti menyarankan industri hiburan di Negara kita supaya menganjurkan pelbagai program realiti hiburan yang berobjektifkan ingin menonjolkan bakat sebenar remaja di luar sana yang masih tercari-cari lagi hala tujuan yang harus mereka pilih. Oleh yang demikian salah satu kebaikan program realiti hiburan ini diwujudakan adalah dapat menolong remaja kini daripada tersalah memilih hala tuju mereka. Hal ini sekali gus dapat mengurangkan peratus masalah sosial dalam kalangan remaja. Jika hal ini berjaya dicapai, maka salah satu hasrat kerajaan iaitu “ Jenayah Sifar” dapat menampakkan hasilnya. Tuntasnya, jika anda hendak mendapatkan sesuatu benda itu hendaklah anda berusaha terlebih dahulu, bak kata pepatah “ yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”.
Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Khazanah kata ini menggambarkan bahawa jika kita ada semangat hendak mengejar cita-cita kita, pasti akan ada jalan atau cara untuk mencapainya. Contoh yang boleh diketengahkan untuk menjelaskan situasi ini dengan lebih terperinci lagi ialah jika seseorang itu sudah menanamkan impiannya itu di dalam hatinya dengan erat maka tidak kira walau apa jua sekalipun cabaran dan rintangan yang bakal dihadapinya pasti akan ada jalan keluarnya jika kita mempunyai keazaman yang tinggi dan untuh untuk mengaharunginya. Hal ini juga ada disebutkan dalam firman Allah mafhumnya “ Allah tidak akan mengubahkan nasib sesuatu kaum itu jika dia tidak berusaha mengubah nasib mereka”. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak akan menolong kita untuk berubah selagi kita tidak mempunyai niat untuk berubah. Sebagai contoh untuk menerangkan ayat ini dengan lebih lanjut lagi ialah walaupun kita menasihatkan pelajar yang nakal banyak mana sekalipun keputusannya masih lagi sama. Nasihat yang kita bagi tadi kepadanya bagai mencurah air ke atas  daun keladi, nasihat yang kita berikan tadi kepadanya akan menjadi sia-sia sahaja selagi mana dia tidak ada niat untuk membuat anjakan paradigma terhadap dirinya sendiri itu. Oleh yang demikian, salah satu faedah yang dapat kita semua perolehi jika program-program realiti ini dianjurkan adalah dapat mendidik anak-anak bangsa kita agar sentiasa berusaha mengejar cita-cita mereka dan jangan sekali-kali berputus asa jika kita masih tidak dapat melihat lagi hasilnya. Tanamkan dalam minda dengan kalam “Jika kau fikirkan boleh, kau boleh membuatnya dan jika kau fikirkan kekalahan, maka kau akan dapat kesengsaraannya.” Hal ini kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya cuma tinggal diri kita sahaja yang menentukannya sama ada masalah itu dapat diselesaikan ataupun tidak. Walaubagaimanapun, apa yang penting adalah usaha kita untuk mencari jalan yang sesuai untuk kita lalui agar dapat mencapai cita-cita kita itu. Konklusinya, janganlah kita cepat mengalah dalam usaha mengejar cita-cita kita. Ingatlah, cita-cita itu bukan sekadar cerita kosong di alam persekolahan yang menghiasi zaman kanak-kanak kita, tetapi cerita itu merupakan satu motivasi yang sering kita ucapkan kepada diri kita agar sentiasa berusaha dalam pelajaran demi mencapai kehidupan yang bahagia. Ingatlah remaja, kejar cita-cita dahulu, barukah kerja cinta.
Genggam bara api biar sampai jadi arang. Peribahasa ini menggambarkan seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan biarlah sampai membuahkan hasil apa yang dikerjakannya itu. Oleh yang demikian, salah satu maslahat menganjurkan program-program realiti ini ialah dapat mengajar anak-anak muda zaman sekarang ini agar melakuakan sesuatu itu biarlah bersungguh-sunggguh dan janganlah menyesal dikemudian harinya, bak kata pepatah Melayu, “sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Oleh yang demikian, jika kita sudah memiliki profesion yang kita minati, kita haruslah menjalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, jika kita sudah layak mengikuti sesebuah program realiti itu, kita haruslah menyahut segala cabaran dan menghadapi segala rintangan dengan berhemah serta bersiap sedia untuk menerima keputusannya dengan hati yang terbuka. Janganlah kita menganggap bahawa segala tugasan yang sukar itu diberi hanya sekadar hendak membuli kita, tetapi kita haruslah memandangnya dari sudut positif seperti pihak penganjur menyediakan tugasan sesukar itu kerana mereka tahu tugasan seperti inilah yang bakal peserta-peserta harungi malah mungkin lebih pahi lagit kelak. Hal ini kerana pihak penganjur telah terlebih makan garam daripada kita. Oleh itu, mahu atau tidak kita haruslah patuh dengan terma dan syarat yang mereka sediakan kerana kita yang memilih sendiri jalan yang kita hendak harungi ini, bak kata adat temenggung “berani buat berani tanggung”. Oleh itu setiap kali kita menerima tugasan, kita sebagai peserta yang mengikuti anjuran ini haruslah mendengar dan mentaati segala arahan yang akan mereka beri. Hal ini kerana mungkin apa yang pihak penganjur lakukan bertujuan untuk memberi nasihat atau motivasi yang akan dipegang oleh mereka yang memilih profesion ini dalam mengharungi cabaran yang begitu sengit dari hari ke hari. Secara sterotaipnya, semua remaja haruslah memilih profesion mereka berdasarkan bakat dan minatnya itu, jika anda berjiwa seni maka jadilah artis yang disegani dan disanjungi oleh khalayak ramai.
Konklusinya, semua masyarakat haruslah sedar bahawa program-program realiti hiburan ini bukan hanya sekadar dipertontonkan kepada khalayak ramai tanpa tunjuan yang munasabah. Hal ini kerana berdasarkan potongan hadis rasululullah “in nama a’malu binniat” bermaksud setiap perbuatan itu mesti mempunyai niat. Kita juga haruslah yakin bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan hanya semata-mata memberi peluang kepada rakyat agar dapat menikmati kehidupan yang lebih adil. Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan. Itulah slogan yang masih menjadi tunggak kerajaan dalam melaksanakan amanah mereka dalam membentuk bangsa yang lebih bertamadun. Walaubagaimanapun setiap perbuatan mesti ada batasannya. Begitu juga dengan dunia hiburan, setiap hiburan pasti ada batasannya. Hal ini ada diterangkan di dalam potongan hadis rasulullah mafhumnya “ orang yang soleh ialah orang yang mencari bekalan akhiratnya, orang yang membaiki taraf kehidupannya dan orang yang mencari hiburan yang tidak melalaikan”. Hadis tersebut jelas mengatakan bahawa Islam tidak melarang penganutnya mencari hiburan tetapi janganlah sampai melupakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Oleh yang demikian, kita janganlah menilai buku itu daripada kulitnya. Kita haruslah mengubah persepsi kita iaitu daripada pemikiran satu hala ke pelbagai hala. Janganlah kita asyik memikirkan kesan yang negatifnya sahaja sehinggakan menidakkan kesan yang positif. Oleh yang demikian, fikirlah dahulu sebelum bertindak, bak kata Ahmad Nabil bin Ahmad, raja lawak “lu fikirlah sendiri!”.
Dikarang oleh Mohd Faiz.

0 comments: